Tema ialah satu idea utama atau persoalan pokok yang menjadi dasar sesebuah karya seperti novel, drama , cerpen dan puisi yang merangkumi mesej utama yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pembaca. Tema juga sangat penting dalam membina pemikiran, emosi dan moral dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Ciri ciri tema yang sesuai ialah relevan dengan remaja atau kanak-kanak.Tema yang baik mestilah mempunyai hubungan langsung dengan pengalaman, perasaan dan dunia kehidupan. Tujuannya adalah untuk membolehkan pembaca menjiwai dan memahami mesej karya. Sebagai contoh, dalam novel Jendela Menghadap Jalan ( RUHAINI MATDARIN), Lili menunjukkan kasih sayang yang mendalam terhadap datuk dan neneknya dengan sentiasa prihatin dan membantu mereka dalam kehidupan seharian. Tema kekeluargaan ini dekat dengan pengalaman pembaca kerana ia menekankan nilai kasih sayang dan kepentingan hubungan harmoni dalam keluarga. Oleh itu, ciri ini menjadikan karya sesuai dengan dunia kehidupan masyarakat.
Ciri yang kedua adalah tema yang bermoral dan membina. Tema yang baik perlu membawa nilai-nilai moral dan pembinaan sahsiah positif. Ia menggalakkan pembaca berfikir tentang perilaku baik, tanggungjawab sosial dan nilai kemanusiaan. Tujuannya adalah untuk membentuk jati diri dan akhlak pembaca. Sebagai contoh, novel Justeru Impian di Jaring (zaid akthar) mengangkat tema kesungguhan remaja dalam mencapai impian dalam bidang sukan. Tema ini menonjolkan nilai disiplin dan semangat tidak mudah putus asa walaupun berhadapan kegagalan Oleh itu, ciri ini menjadikan karya sebagai alat pendidikan yang memberi cerminan dan panduan hidup.
Ciri yang ketiga adalah tema yang tidak melampau. Tema yang baik, tidak menonjolkan unsur negatif, lucah, ganas, ekstrem atau bertentangan dengan nilai budaya dan agama. Tujuannya adalah untuk melindungi pembaca daripada pengaruh buruk. Sebagai contoh,dalam novel Songket Berbenang Emas, ( Khairuddin Ayip) kisah cinta antara Dahlia dan Azhari digambarkan secara sederhana dan sopan tanpa unsur keterlaluan atau negatif. Tema ini lebih menekankan sokongan moral untuk fokus pada pelajaran dan saling menghormati .Oleh itu, ciri ini menjadikan karya selamat untuk dibaca dan sesuai dengan nilai masyarakat.
Ciri yang keempat adalah tema yang mengandungi pengajaran. Tema yang baik perlu mempunyai mesej atau pengajaran moral yang dapat diambil oleh pembaca . Tujuannya adalah untuk memberi ruang kepada pembaca untuk muhasabah diri dan menilai tindakan mereka. Sebagai contoh,Sebagai contoh, novel Jalan ke Puncak ( juri durabi ) mengangkat tema kegigihan remaja mencapai cita-cita dan usaha memperbaiki kehidupan. Tema ini dekat dengan dunia pelajar yang sedang berusaha menentukan masa depan, sekali gus mudah difahami dan dihayati . Oleh itu, ciri ini menjadikan karya bernilai tinggi dalam mendidik jiwa dan pemikiran pembaca.
Ciri yang kelima ialah tema yang disesuaikan dengan tahap umur dan kemampuan kognitif pembaca. Tema yang kompleks dan realistik sesuai dengan pembacaan golongan remaja . Tujuannya adalah untuk menjiwai watak dan situasi, serta mengaitkan cerita dengan pengalaman hidup mereka sendiri.Sebagai contoh, dalam novel Pelari Muda, (GHAZALI NGAH AZIA) watak utama berusaha bersungguh-sungguh mengejar impian dalam sukan. Tema ini dekat dengan pengalaman remaja dan memberi mereka contoh bagaimana menghadapi cabaran yang sesuai dengan tahap umur.Oleh itu,ciri ini menjadikan karya mudah difahami remaja kerana mesej dikaitkan pengalaman sendiri, serta membina pemikiran mengikut tahap umur masing-masing.
Secara keseluruhannya, ciri ciri tema yang sesuai dalam karya sastera seperti novel adalah tema yang relevan dengan pengalaman pembaca, bermoral dan membina, tidak melampau, mengandungi pengajaran yang jelas serta sesuai dengan umur dan tahap kemampuan kognitif. Dengan itu, karya sastera dapat berperanan sebagai hiburan yang mendidik dan sebagai panduan hidup bagi remaja dan kanak-kanak.